ROKOK seludup yang dirampas. FOTO ihsan PGA
ROKOK seludup yang dirampas. FOTO ihsan PGA
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai cuba mengedar 76 karton rokok seludup di Jalan Putera Indah 15/1, Taman Putera Indah, dekat sini, 3 petang semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam ketika Op Kontraban.

"Anggaran nilai rokok ialah RM2,683.60 manakala anggaran nilai cukai ialah RM11,323.40 serta anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk sebuah kereta dan telefon bimbit bernilai RM 20,807.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai membekalkan rokok tidak bercukai di kedai-kedai runcit sekitar Batu Pahat," katanya dalam kenyataan.

Menurut Dimin, suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah ( IPD) Batu Pahat bagi tindakan lanjut.

"Tangkapan dan rampasan berkenaan berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar kawasan Batu Pahat," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 10:47 AM