Seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan rokok dan arak seludup dalam serbuan di Jalan Timun, Tongkang Pechah, semalam. FOTO Ihsan PGA
Seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan rokok dan arak seludup dalam serbuan di Jalan Timun, Tongkang Pechah, semalam. FOTO Ihsan PGA
Essa Abu Yamin


SEORANG lelaki disyaki konco sindiket penyeludupan rokok dan arak tidak sempat mengedar bekalan ke kedai runcit di sekitar daerah ini apabila ditahan di Jalan Timun, Tongkang Pechah, Batu Pahat, kelmarin.

Lelaki tempatan berusia 45 tahun itu ditahan anggota Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam yang melakukan rondaan kira-kira 8.45 malam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Superintendan Dimin Awang berkata, pemeriksaan ke atas Toyota Camry yang dipandu suspek menemukan 112 botol arak dan 60 karton rokok seludup.

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah RM30,087," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek disyaki terbabit dalam kegiatan mengedar rokok dan arak seludup ke kedai runcit tidak berlesen di sekitar kawasan Batu Pahat.

"Suspek ditahan dan semua barang salah itu dirampas di bawah kesalahan Akta Kastam 1967.

"Tangkapan dan rampasan seterusnya diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 2:07 PM