Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. FOTO Arkib NSTP
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mendukung penuh sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan dalam pentadbiran Demokrasi Berparlimen di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, gabungan empat parti yang mentadbir Sarawak itu juga berharap kemelut politik yang melanda negara ketika ini akan segera berakhir.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan usaha untuk membebaskan negara daripada pandemik Covid-19 dijalankan dengan lebih lancar.

"Ketika negara berdepan krisis pandemik Covid-19 ketika ini, kestabilan politik amat diperlukan.

"Bersama-samalah kita berdoa agar kemelut politik yang melanda negara berakhir segera dan negara segera bebas daripada pandemik Covid-19 supaya kita fokus ke arah menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat serta pemulihan ekonomi," katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian dalam kenyataan ringkas, malam tadi.

Kenyataan itu merujuk situasi semasa politik negara susulan isu pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen yang belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat itu.

Baginda menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 26 Julai lalu adalah tidak tepat dan mengelirukan dewan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 12:25 PM