DR Mahathir. FOTO arkib NSTP
DR Mahathir. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ahli Kabinetnya meletakkan jawatan.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, Muhyiddin dan semua menteri bertanggungjawab atas tindakan mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan di Parlimen seiring dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Muhyiddin tiada kuasa membatalkan Ordinan itu tetapi membuat pengumuman seolah-olah memiliki kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Walaupun Muhyiddin tidak membuat pengumuman mengenai pembatalan Ordinan Darurat pada Isnin lalu dan dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, namun beliau tetap bertanggungjawab.

"Beliau tidak berusaha memperbaikinya atau menghentikan tindakan Takiyuddin ketika itu walaupun beliau hanya duduk di hadapan menteri berkenaan.

"Malah, beliau juga tidak membuat penjelasan mengenainya selepas itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi menyifatkan tindakan mereka sengaja berbohong selain memalukan.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu, dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan Istana Negara menjelaskan kenyataan itu bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan saja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara.

Malah, katanya, ia membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 6:07 PM