PEMANDANGAN luar pekarangan pintu masuk utama Istana Negara di Kuala Lumpur. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda. FOTO Aizuddin Saad
PEMANDANGAN luar pekarangan pintu masuk utama Istana Negara di Kuala Lumpur. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda. FOTO Aizuddin Saad
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuatkuasa 21 Julai lalu, sudah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan Istana Negara menjelaskan kenyataan itu bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara.

Malah, katanya, ia membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Seri Paduka Baginda sedia maklum akan perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

"Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Baginda, selaku Ketua Utama Negara mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berpelembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," katanya menerusi kenyataan Istana Negara, hari ini.

Katanya, Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan sudah dibuat di Parlimen pada 26 Julai 2021 bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimashurkan Baginda sepanjang tempoh darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenankan.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa sudah diperkenankan dan dipersetujui terdahulu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, sudah tidak dilaksanakan.

"Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri (Takiyuddin) di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

"Baginda menegaskan dalam pemerintahan Raja Berpelembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen bertunjangkan prinsip keluhuran perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.

"Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda," katanya.

Beliau berkata, baginda menegaskan bahawa semua Ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung.

Pada 26 Julai lalu, kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Takiyuddin dilaporkan berkata kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

"Saya mengesahkan bahawa kerajaan memutuskan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baru apabila ia tamat pada 1 Ogos 2021.

Kerajaan sudah menarik balik semua ordinan darurat berkenaan pada 21 Julai lalu. Pembatalan ini menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit," katanya pada hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, pada 26 Julai lalu di Parlimen.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 12:38 PM