Datuk Prof Dr Abdul Halim Sidek. FOTO Arkib NSTP
Datuk Prof Dr Abdul Halim Sidek. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pengumuman pembatalan Ordinan Darurat dan tidak meneruskan Proklamasi Darurat tidak sepatutnya dibuat di Parlimen Isnin lalu.

Penganalisis Perundangan dan Politik, Datuk Prof Dr Abdul Halim Sidek berkata, ini kerana keputusan dua perkara penting itu masih belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan itu perlu dibuat selepas mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah bagi menghormati Baginda sebagai Ketua Utama Negara.

"Pengumuman Kabinet bersetuju membatalkan Ordinan Darurat dan tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan Proklamasi Darurat perlu dibuat hanya selepas diperkenan Al-Sultan Abdullah.

"Namun pengumuman dibuat sebelum Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan mengenai pembatalan darurat dan dilihat mendahului Baginda," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, sepatutnya sebarang pengumuman mengenai darurat tidak mendahului Istana Negara supaya ia lebih teratur dan tidak menimbulkan pertikaian dalam kalangan masyarakat.

Istana Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan dukacita dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen Isnin lalu bahawa Kerajaan sudah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan Baginda walaupun pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.

Takiyuddin pada Isnin memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan membatalkan enam Ordinan Darurat dan tidak akan menasihati Al-Sultan Abdullah untuk meneruskan Proklamasi Darurat selepas 1 Ogos ini.

Ternyata pengumuman itu mengejutkan Ahli Parlimen termasuk rakyat kerana pembatalan dibuat tanpa sebarang pemakluman rasmi daripada kerajaan.

Malah, sidang Dewan Rakyat sejak Isnin lalu terus panas apabila pembangkang terus mendesak kerajaan memberikan penjelasan mengenai perkara itu.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 2:40 PM