TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO arkib NSTP
TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Usul untuk membahas dan mengungkaikan ordinan-ordinan darurat boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada September 2021.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok dan ia diharap dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan ordinan-ordinan darurat secara harmoni dan berperlembagaan.

Katanya, proses pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai 2021 tidak dapat disempurnakan.

"Dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos 2021, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini Seri Paduka menzahirkan rasa dukacita dengan pengumuman pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.

Pembatalan ordinan darurat tanpa mendapat perkenan Agong terlebih dulu itu menimbulkan suasana kecoh di Dewan Rakyat.

Persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan susulan penularan Covid-19 di bangunan Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 1:44 PM