MUHYIDDIN Yassin. FOTO arkib NSTP
MUHYIDDIN Yassin. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan berpandangan semua tindakan mengenai pembatalan Ordinan Darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, Perdana Menteri menekankan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau, adalah penting untuk beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

"Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini, kerajaan ingin menjunjung kasih di atas titah penghargaan yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong kepada kerajaan kerana melaksanakan Mesyuarat Khas Parlimen yang bermula pada 26 Julai.

"Kerajaan sentiasa menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seperti dizahirkan susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun lalu yang antara lain menekankan darurat tidak perlu disambung selepas 1 Ogos 2021 dan perlunya Parlimen bersidang secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, berdasarkan titah pandangan itu, kerajaan memutuskan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai.

"Sebagai persediaan Mesyuarat Khas Parlimen ini, Jemaah Menteri pada 21 Julai mengadakan perbincangan yang teliti dan mengambil beberapa ketetapan.

"Pertama, Mesyuarat Khas Parlimen diadakan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Kedua, Jemaah Menteri tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuat Proklamasi Darurat baharu selepas darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos ini," katanya.

Menurutnya, oleh kerana darurat tidak akan disambung, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan Baginda sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

"Susulan ketetapan ini, Pejabat Perdana Menteri pada 22 Julai menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara.

"Ordinan ini memperuntukkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong dibatalkan berkuat kuasa pada 21 Julai.

"Pada 23 Julai 2021, Perdana Menteri mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya Ordinan Darurat berkenaan dibatalkan dan memohon limpah perkenan Baginda mengenainya," katanya.

Pejabat Perdana Menteri berkata pihaknya mengambil maklum sebagaimana dizahirkan di dalam kenyataan media Istana Negara hari ini, Yang di-Pertuan Agong sedia maklum Baginda perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 40 (1) memperuntukkan pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

"Selain itu, Perkara 40 (1A) pula memperuntukkan menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu," katanya.

Katanya, susulan itu, Yang di-Pertuan Agong pada 24 Julai menitahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara menghadap untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai nasihat itu.

"Apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai, semua Ordinan Darurat dibentang di atas meja Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Namun, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan Ordinan Darurat yang dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong.

"Susulan itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang memaklumkan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat kerajaan iaitu Jemaah Menteri membuat keputusan untuk membatalkan Ordinan Darurat berkenaan.

"Ini adalah suatu kenyataan fakta yang bertujuan memaklumkan kepada Dewan Rakyat keadaan sebenarnya secara telus," katanya.

Menurutnya, pemakluman Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) menimbulkan persoalan mengenai status perkenan Yang di-Pertuan Agong ke atas Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021.

"Oleh itu, Perdana Menteri dan Peguam Negara memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 27 Julai, jam 12 tengah hari untuk menjelaskan kedudukannya.

"Pada sesi menghadap ini, Perdana Menteri sekali lagi memberikan nasihat Jemaah Menteri mengenai pembatalan Ordinan Darurat serta membuat penjelasan atas kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat.

"Perdana Menteri juga menyembah maklum pandangan kerajaan kesemua Ordinan Darurat tidak perlu diungkaikan Parlimen memandangkan Jemaah Menteri pun menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkannya," katanya.

Menurutnya, sidang Parlimen yang berlangsung adalah Mesyuarat Khas yang diadakan di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang agendanya adalah penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai Ordinan Darurat.

"Oleh sebab itu, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat sebelum Mesyuarat Khas Parlimen bermula," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan rakyat supaya sentiasa bertenang dan InsyaAllah isu itu akan dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 7:20 PM