SERAMAI 800 kakitangan dan pelajar Unimas menjadi sukarelawan sepanjang proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). FOTO Arkib NSTP
SERAMAI 800 kakitangan dan pelajar Unimas menjadi sukarelawan sepanjang proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

Kota Samarahan: Sistem pengurusan penggiliran automatik (Qvac) yang diperkenalkan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berjaya melancarkan proses vaksinasi di institut pengajian tinggi (IPT) itu yang menjadi Pusat Pemberian Vaksin IPT Mega (PPV IPT Mega).

Sejak beroperasi mulai 14 Jun lalu hingga Jumaat lalu, PPV IPT Mega itu sudah menyuntik 106,610 vaksin Covid-19 kepada warga universiti serta penduduk sekitar.

Naib Canselor Unimas, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, dariapda jumlah itu sebanyak 53,189 orang adalah penerima dos pertama pada 14 Jun hingga 2 Julai lalu, manakala 53,421 lagi adalah penerima dos kedua setakat 23 Julai.

"Kejayaan yang dicapai PPV IPT Mega Unimas dalam mengendalikan proses vaksinasi ini adalah hasil penggunaan sistem QVAC.

"Selain itu, semangat kesukarelawan yang tinggi dalam kalangan kakitangan dan pelajar juga menjadi penyumbang utama kejayaan ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Kadim berkata, seramai 800 kakitangan dan pelajar Unimas menjadi sukarelawan sepanjang proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Mengulas lanjut, katanya, rekod pemberian vaksin harian tertinggi dicatatkan pada 25 Jun lalu iaitu 5,584 dos.

"Dalam usaha membantu mencapai imuniti kelompok yang tinggi, PPV ini juga melaksanakan program vaksinasi bersama komuniti membabitkan 3,210 penduduk dari 27 kampung di kawasan Kuching dan Samarahan.

"Komuniti dari perkampungan berkenaan telah dibawa untuk mendapatkan suntikan vaksin menggunakan perkhidmatan bas Unimas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 3:18 PM