SUKARELAWAN PPV IPT Mega USIM merakam kenangan selepas PPV itu beroperasi hari terakhir semalam. FOTO IHSAN USIM
SUKARELAWAN PPV IPT Mega USIM merakam kenangan selepas PPV itu beroperasi hari terakhir semalam. FOTO IHSAN USIM
Mohd Amin Jalil


Nilai: Operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT) Mega di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, berakhir selepas merekodkan 200,665 dos vaksin Covid-19 sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J Arul Kumar berkata sejak memulakan operasi 28 Jun lalu, PPV mega berkenaan membuat suntikan vaksin dos pertama kepada 100,795 individu dan 99,870 individu, penerima dos kedua.

"Jumlah penerima yang tinggi ini menjadikan PPV IPT Mega USIM secara langsung menyumbang 26 peratus pembentukan imuniti kelompok di Negeri Sembilan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

"Ini membolehkan PPV USIM diiktiraf antara tiga PPV terbaik di Negeri Sembilan dan juga peringkat Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya pada program suntikan vaksin hari terakhir di PPV berkenaan, semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USIM, Prof Dr Mohd Radhi Ibrahim dan Pengarah PPV IPT Mega USIM, Prof Dr Muhammad Shamsir Mohd Aris.

Arul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai berkata, Negeri Sembilan pernah mencatatkan kes baharu harian COVID-19 tertinggi melebihi 1,000 kes pada Julai lalu, namun kini menurun kepada bawah 150 kes.

"Ini adalah kesan positif daripada pelaksanaan pemberian vaksin yang lebih meluas melalui penubuhan PPV (termasuk di USIM) yang membantu kita mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Mohd Radhi menzahirkan penghargaan kepada sukarelawan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan agensi yang bertungkus lumus memastikan kelancaran PPV IPT Mega USIM ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 11:12 AM