Pekerja Pharmaniaga melakukan proses dan menyiapkan bekalan Vaksin Covid di Kilang Berteknologi Tinggi Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd di Taman Perindustrian Puchong Utama. FOTO ASWADI ALIAS
Pekerja Pharmaniaga melakukan proses dan menyiapkan bekalan Vaksin Covid di Kilang Berteknologi Tinggi Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd di Taman Perindustrian Puchong Utama. FOTO ASWADI ALIAS
Oleh Luqman Arif Abdul Karim


Kuala Lumpur: Malaysia mengadakan rundingan semula dengan syarikat pembekal vaksin dari seluruh negara bagi mempercepatkan penghantaran bekalan.

Percaturan susulan arahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bakal menyaksikan Malaysia dijangka menerima 37 juta dos vaksin sebelum akhir September ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin ketika menjelaskan perkembangan semasa itu berkata, syarikat pembekal vaksin dari China, Sinovac akan selesai menghantar keseluruhan tempahan 12 juta dos sebelum akhir Julai depan.

Beliau berkata, syarikat farmaseutikal dari Amerika Syarikat, Pfizer pula akan menghantar 25 juta dos dalam suku ketiga tahun ini.

Malah, katanya, bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) juga giat melakukan penilaian terhadap vaksin satu dos dari Cansino selain usaha meningkatkan kapasiti vaksinasi yang ketika ini kadar harian mencecah 100,000 suntikan.

"Kita sedang merancang untuk meningkatkan jumlah ini kepada dua kali ganda menjelang Julai nanti, lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka termasuk PPV mega yang boleh laksanakan suntikan pada kadar 5,000 hingga 10,000 suntikan sehari.

"Saya sedar ramai yang bimbang mengenai PPV mega, justeru, saya sudah mengarahkan prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan lebih ketat dilaksanakan bagi mengelak keadaan sesak ini.

"PPV klinik swasta juga sudah mula beroperasi. Jumlah ini akan terus ditambah menjelang akhir Jun. Kita menyasarkan 1,000 PPV klinik swasta bagi membolehkan capaian vaksinasi yang lebih mudah kepada orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam rakaman video yang dimuat naik di Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV), semalam.

Merintis penambahbaikan, Khairy memaklumkan lebih banyak hospital swasta akan terbabit menjadi PPV, malah pembukaan beberapa PPV pandu lalu akan dilaksanakan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 7:10 AM