Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Hospital Bukit Mertajam (HBM), Pulau Pinang dijadikan sebagai hospital hibrid Covid-19 bermula hari ini susulan peningkatan kes jangkitan wabak berkenaan yang memerlukan rawatan di hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang sudah melakukan tindakan segera dalam situasi itu.

Menerusi hantaran di Facebook semalam, Dr Noor Hisham berkata, selepas melakukan perancangan dan persiapan rapi selama enam hari, hospital hibrid itu bersedia mengambil pesakit Covid-19 pertama, pagi ini.

"Terdapat 72 katil dengan paip oksigen yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19. Bilangan katil juga boleh ditingkatkan sehingga 120 katil jika keperluan bertambah.

"Ia juga dapat menerima pesakit hemodialisis yang dijangkiti Covid-19 memandangkan hospital itu dilengkapi dengan kemudahan hemodialisis di katilnya.

"Semua perkhidmatan kepakaran di HBM tetap diberikan walaupun kapasiti bagi disiplin pembedahan, obstetrik dan ginekologi serta pediatrik akan dikurangkan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pesakit bukan Covid-19 akan dipindahkan ke pusat kesihatan di Hospital Kluster Seberang Perai sekiranya diperlukan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 2:51 PM