GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor merekodkan 220 kes pemerasan daripada Januari hingga 30 Jun lalu termasuk memperdaya mangsa sehingga sanggup berkongsi gambar bogel dengan individu tidak dikenali menerusi pelbagai aplikasi dalam talian.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, taktik sindiket itu adalah memperdaya mangsa tidak mengira lelaki atau wanita, umur serta bangsa bagi mendapatkan apa yang mereka mahukan.

"Sindiket menggunakan aplikasi yang memudahkan mangsa berumur 20-an hingga 60-an untuk berkomunikasi.

"Mangsa akan diperdaya sehingga sanggup berbogel. Sindiket akan merekod video selain gambar lucah sebelum memeras ugut mangsa," katanya pada kenyataan hari ini.

Arjunaidi berkata, sindiket kemudiannya meminta sejumlah wang atau rakaman video selain gambar lucah disebar.

"Jumlah kerugian dialami mangsa pula antara RM3,000 hingga RM50,000.

"Sindiket menggunakan akaun bank tempatan. Untuk mengelak sukar dikesan, sindiket turut menggunakan akaun luar negara seperti Western Union dan Bank Rakyat Indonesia," katanya.

Beliau berkata, daripada 220 kes dilaporkan, pecahannya membabitkan 29 kes adalah kenalan kepada mangsa seperti bekas suami, bekas teman lelaki atau kenalan.

"Sebanyak 137 kes pula membabitkan individu tidak dikenali mengirim rakaman video bukan milik mangsa untuk mengganggu mangsa.

"Baki 54 kes membabitkan mangsa diperdaya untuk melakukan aksi tidak senonoh di laman sosial secara langsung," katanya.

Menurut beliau, antara aplikasi yang sering digunakan oleh sindiket adalah We Chat, Facebook, Mi Chat, WhatsApp, laman web 'GODATE2NIGHT', 'Locanto.asia' dan 'LINE'.

Polis menasihati orang ramai untuk mengelakkan diri daripada melakukan aksi yang mengaibkan diri melalui komunikasi digital supaya tidak menjadi mangsa pemerasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 7:39 PM