GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis membuka 25 kertas siasatan membabitkan sindiket yang menawarkan perkhidmatan langganan seks dan pemerasan menerusi panggilan video lucah.

Kesemua mangsa lelaki yang membuat laporan polis itu berusia antara 17 sehingga 50 tahun membabitkan nilai kerugian sebanyak RM150,000.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sindiket itu menawarkan langganan seks sebelum membuat panggilan video lucah menerusi aplikasi Facebook, Wechat, Michat, Line dan Tinder.

Katanya, suspek akan meminta mangsa membuat bayaran tertentu sebagai wang deposit sebelum meminta bayaran tambahan.

"Jika enggan, mereka akan mengugut mangsa dengan menghantar gambar atau video orang yang dicederakan, kononnya mereka akan melakukan perkara yang sama kepada mangsa.

"Suspek juga akan memuat turun gambar mangsa yang terdapat di media sosial dan mengugut akan menyebar gambar berkenaan dengan menulis keterangan jelik serta boleh menjatuhkan maruah mangsa," katanya di sini, hari ini.

Soffian berkata, suspek akan membuat panggilan video menggunakan wanita yang beraksi lucah serta meminta mangsa berbogel sebelum merakam panggilan berkenaan.

Menurutnya, suspek selepas itu akan mengugut mangsa bagi membuat sejumlah bayaran sekiranya tidak mahu video itu disebar kepada kenalan ataupun ditular di media sosial.

"Suspek akan menghubungi mangsa menggunakan lebih daripada satu nombor telefon pendaftaran tempatan atau luar negara bagi mengugut dan menakutkan mangsa.

"Terdapat beberapa cara pembayaran yang digunakan suspek antaranya menerusi pembelian Razer Gold, pemindahan wang dalam talian dan PayPal," katanya.

Kesemua kes yang dilapor akan disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu pemerasan; Seksyen 385 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan ketakutan bencana bagi tujuan melakukan pemerasan dan Seksyen 233 Akta Kesalahan Multimedia dan Komunikasi 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Sehubungan itu, Soffian berkata, orang ramai dinasihat supaya berhati-hati ketika menggunakan aplikasi dalam talian.

"Pengguna juga dinasihati supaya tidak berkelakuan lucah semasa membuat panggilan video dengan mana-mana individu yang baru dikenali bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sindiket berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 8:34 PM