NIK Ezanee Mohd Faisal (tengah) selaku panel Program bual bicara bertajuk Penipuan Jenayah Siber menerusi Facebook rasmi Polis Selangor. NSTP ihsan Polis Selangor
NIK Ezanee Mohd Faisal (tengah) selaku panel Program bual bicara bertajuk Penipuan Jenayah Siber menerusi Facebook rasmi Polis Selangor. NSTP ihsan Polis Selangor
Ruwaida Md Zain

am@ metro.com.my

Shah Alam: Peningkatan mendadak apabila polis Selangor menerima sebanyak 316 laporan jenayah pemerasan dan ugutan penyebaran video lucah sejak Januari lalu sehingga kini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, jumlah itu meningkat agak ketara berbanding 51 laporan diterima sepanjang tahun lalu.

Katanya, jenayah berkenaan membabitkan tiga kategori iaitu individu yang melayari aplikasi media sosial untuk mencari kenalan baharu.

"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai individu yang menghabiskan masa dengan melayari media sosial dan menjalin hubungan secara maya.

"Namun ada penjenayah di luar sama mengambil kesempatan untuk menggoda mangsa. Nafsu mangsa dirangsang supaya beraksi lucah melalui video. Tanpa disedari, aksi mangsa itu dirakam suspek.

"Beberapa hari kemudian, mangsa menerima mesej ugutan supaya membayar sejumlah wang jika tidak mahu video atau gambar `panas' itu disebarkan di media sosial," katanya.

Menurutnya, kategori kedua pula membabitkan pasangan suami isteri, tunang atau kekasih.

"Biasanya mereka merakam gambar atau video `ghairah' ketika saat bahagia. Namun apabila berpisah atau bercerai, ia sebaliknya digunakan untuk memeras ugut bekas pasangan.

"Kategori ketiga pula jarang berlaku namun wujud. Ia membabitkan mangsa yang merakam sendiri `aksi panas' menggunakan telefon pintar sebagai koleksi peribadi. Namun masalah timbul apabila telefon pintar itu hilang, dicuri atau dihantar untuk dibaiki. Saya nasihatkan, tolong jangan rekod atau rakam perbuatan yang boleh mengaibkan diri sendiri," katanya dalam sesi Bual Bicara bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Selangor dan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor bertajuk "Penipuan Jenayah Siber" anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Selangor di sini, tadi.

Program bual bicara menerusi Facebook rasmi Polis Selangor itu turut dihadiri Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (Jenayah Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket/Siber), Superintendan Raduan Othman.

Justeru itu, Nik Ezanee menggesa semua masyarakat tidak mudah terpedaya segera membuat laporan polis supaya siasatan segera dapat dilakukan.

"Hari ini kita tidak boleh lari dari internet, teknologi dan sosial media berikutan ia sebahagian dari kehidupan kita.

"Tetapi, kita kena sentiasa beringat berikutan ada individu, organisasi atau pihak tertentu yang sentiasa mahu mengambil kesempatan di atas kelemahan kita sebagai manusia," katanya.

Dalam pada itu katanya, kes jenayah pemerasan dan ugutan penyebaran video lucah ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

"Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun, sebatan atau denda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 7:03 PM