GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Bukan hanya golongan dewasa menjadi mangsa peras ugut siber malah ada juga dalam kalangan warga emas turut diperdaya hingga sanggup beraksi bogel dan lucah di ruang siber.

Perkara itu didedahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berhubung jenayah ugutan melalui media sosial yang semakin berleluasa.

Beliau berkata, sebanyak 180 kes jenayah ugutan direkodkan di Selangor bermula Januari hingga semalam.

"Daripada jumlah itu, 110 kes berkaitan individu yang tidak dikenali manakala 42 kes membabitkan kenalan kepada mangsa seperti bekas suami atau bekas teman lelaki.

"Baki kes membabitkan mangsa diperdaya sindiket yang menyamar kononnya mencari kenalan melalui laman sosial sehingga memperdaya mangsa memberikan video aksi lucah," katanya tadi.

Beliau berkata, aplikasi digunakan sindiket terbabit termasuk WeChat, Facebook, Michat, Line dan WhatsApp selain laman web seperti Locanto.asia serta GODATE2NIGHT.

Katanya, sindiket ini membuat ugutan terhadap mangsa dengan meminta wang berjumlah antara RM10,000 hingga RM20,000.

"Sekiranya mangsa gagal membuat bayaran itu, sindiket akan menyebarkan gambar bogel mangsa di media sosial selain kepada ahli keluarga dan rakan.

"Rata-rata mangsa diperangkap selepas berbual mesra di laman sosial sebelum berkongsi aksi seksi dan lucah sebelum menjadi mangsa peras ugut," katanya.

Menurutnya, mangsa yang takut dimalukan akan membayar sejumlah wang seperti diminta melalui nombor akaun diberikan suspek.

Fadzil berkata, sindiket akan memperdaya mangsa menggunakan media sosial tanpa mengira latar belakang mangsa seperti jantina, umur serta bangsa.

"Pihak polis menasihati masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu daya sebegini. Pelbagai cara dilakukan suspek melalui aplikasi di media sosial untuk memperdaya mangsa.

"Masyarakat perlu bijak menggunakan media sosial. Perlu diingatkan aksi yang mereka lakukan secara langsung di media sosial amat mudah dirakam dan disimpan oleh pihak kedua.

"Janganlah mempercayai sesiapa sahaja yang baru dikenali di media sosial kerana ramai menjadi mangsa kepada kumpulan penipu siber ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 6:16 PM