Ekhwan Haque Fazlul Haque


Petaling Jaya: Polis akan mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini untuk siasatan lanjut kes lelaki ditahan selepas memuat naik video mempertikaikan tindakan pihak berkuasa, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fahkrudin Abdul Hamid, kes akan disiasat mengikut Seksyen 188, 504, 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan polis di apartmen di Bandar Sri Damansara, 10 malam tadi.

"Polis menahan suspek di sebuah apartmen dan ketika ditahan suspek turut membuat rakaman video," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, suspek dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka di stesen minyak di Sri Damansara.

Mohamad Fahkrudin berkata, suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan itu kemudian membuat provokasi kepada pegawai polis bertugas.

Katanya, suspek juga membuat video secara langsung di Facebook (FB) mempertikaikan tindakan polis terhadapnya.

"Susulan itu, video berdurasi 15 minit dan 42 saat berkenaan kemudian tular di FB," katanya.

Tindakan suspek memuat naik video itu bagaimanapun dikecam netizen kerana ia ternyata salah kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 10:58 AM