Aizat Sharif

Kangar: Polis mengesan 25 'lorong tikus' sekitar sempadan Perlis-Kedah yang dijadikan laluan individu cuba merentas negeri ke Perlis.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, terdapat keinginan orang ramai untuk memasuki Perlis ditambah pula negeri ini sudah memasuki Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) walaupun jumlahnya tidak besar.

"Lorong tikus itu sudah diletakkan penghadang konkrit namun mereka masih melompat dan melepasi halangan sebelum seseorang yang sedia menunggu menjemput mereka masuk ke Perlis," katanya selepas melakukan tinjauan 'lorong tikus' di sekitar sempadan Perlis-Kedah di Jalan Kampung Salang-Kuala Sanglang, Simpang Empat, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew.

Surina berkata, perkembangan itu bagaimanapun agak kecil dan sekiranya ditangkap, mereka boleh diambil tindakan kerana merentas negeri.

"Kita tidak boleh menutup semua jalan kerana laluan sempadan Perlis-Kedah ini mempunyai pelbagai bentuk seperti lorong kecil kampung namun kita memberi penumpuan kepada laluan utama seperti di Jalan Kampung Salang-Kuala Sanglang.

"Disebabkan Pekan Kuala Sanglang, Perlis ini mempunyai kemudahan klinik kerajaan, kedai runcit dan sekolah maka penduduk di Sanglang, Kedah akan memasuki pekan ini namun mereka tetap dipantau oleh petugas.

"Penduduk di bahagian sana mendakwa sengaja berulang-alik hampir 10 kali sehari dengan alasan untuk pergi ke kedai," katanya.

SURINA meninjau hadangan konkrit yang diletakkan di sempadan Perlis-Kedah di Jalan Kampung Salang-Kuala Sanglang, Simpang Empat. FOTO Aizat Sharif
SURINA meninjau hadangan konkrit yang diletakkan di sempadan Perlis-Kedah di Jalan Kampung Salang-Kuala Sanglang, Simpang Empat. FOTO Aizat Sharif

Sementara itu, bagi mengatasi kemasukan haram ke Kuala Sanglang, Perlis, wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Sanglang, Mazlan Othman berkata, pihaknya akan menggunakan sistem kad kepada penduduk bagi membezakan mereka dengan orang luar.

"Di Pekan Kuala Sanglang ini, kita mempunyai 354 rumah yang mana 285 adalah rumah Kampung Kuala Sanglang dan bakinya adalah penduduk berbangsa Cina yang tinggal di sekitar pekan ini.

"Kita akan siapkan kad ini selepas ini yang dipegang oleh wakil setiap rumah di kawasan Kuala Sanglang ini," katanya.

Dia berkata, melihatkan pergerakan keluar masuk orang luar menyebabkan penduduk gusar sekiranya terdapat penularan jangkitan Covid-19 seperti pernah dilalui mereka pada tahun lalu.

Untuk rekod, Kuala Sanglang pernah diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat Secara Bersasar (Temco) di dua kampung di kawasan itu pada tahun lalu berikutan penularan Covid-19 dari kluster Sivagangga.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 3:27 PM