ABD Razak menunjukkan hasil ikan yang didaratkan belum terjual akibat salah faham lokasi Temco. FOTO Noorazura Abdul Rahman
ABD Razak menunjukkan hasil ikan yang didaratkan belum terjual akibat salah faham lokasi Temco. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


KIRA-kira 300 nelayan dan peniaga di Kuala Sanglang, Kubang Pasu, terjejas berikutan berlakunya salah faham lokasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di Kuala Sanglang, Perlis pada 8 Ogos lalu.

Akibatnya, nelayan dan peniaga berhadapan dengan lambakan ikan apabila peraih dan orang ramai tidak lagi berkunjung ke situ.

Nelayan, Mohd Zuker Ramli, 49, berkata, keadaan itu menyebabkan harga ikan kembung jatuh sehingga RM2 sekilogram berbanding RM7 sekilogram sebelum ini.

"Banyak hasil jualan tak habis dan kami terpaksa bawa ke pasar borong di Alor Setar atau buat kering untuk makan sendiri.

"Pendapatan kami terjejas teruk sehingga ada antara kami melakukan pelbagai kerja sampingan lain menampung perbelanjaan harian keluarga," katanya ketika ditemui di Kuala Sanglang, di sini.

Nelayan, Abd Razak Ahmad, 53, berkata, setiap hari dia akan turun ke laut selepas Subuh dan pulang pada 8 pagi.

"Balik pagi tadi saya tunggu sekejap di pelantar ikan tapi tak ada orang datang beli, jadi saya balik ke rumah dulu. Apabila saya datang balik jam 10 pagi, tengok ikan saya masih sama tak ada orang beli.

"Kalau sampai petang tak habis-habis juga terpaksa la semua ikan ini dibuat kering atau pun baja ikan," katanya.

Bagi pengusaha restoran, Roaini Don, 48, perniagaannya turut terjejas kerana pelanggan tidak berani berkunjung ke premisnya sejak pengumuman Temco di Kuala Sanglang, Perlis.

"Mungkin pelanggan keliru antara Kuala Sanglang Kedah dan Kuala Sanglang Perlis. Kami berada di sebelah Kedah dan tidak ada kes Covid-19 dalam kawasan kami. Bahkan kami tidak terletak dalam kawasan Temco.

"Situasi ini sudah berlarutan hampir tiga minggu dan saya terpaksa tutup kedai untuk mengelakkan kerugian," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh, Dr Salmee Said berharap orang ramai terutamanya yang berada di luar kawasan ini tidak menganggap Kuala Sanglang, Kedah sebagai kawasan yang berbahaya.

Katanya, kawasan terbabit tidak merekodkan sebarang kes positif Covid-19 malah individu yang melakukan saringan juga negatif dan sudah tamat tempoh kuarantin.

Sebelum ini, kerajaan melaksanakan Temco selama 28 hari bermula 8 Ogos lalu membabitkan dua kampung iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul akibat penularan Kluster Sivagangga.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 11:49 AM