GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh


Klang: Penghuni Pangsapuri Bukit Tinggi 1 di Jalan Batu Nilam di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bakal disaring secara besar-besaran selain disuntik vaksin

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor berkata, selain saringan kepada yang bergejala, pemberian vaksin covid-19 turut diberikan kepada penduduk yang layak dalam kawasan itu.

"PKPD ini akan membabitkan keseluruhan Pangsapuri Bukit Tinggi 1, Jalan Batu Nilam 15, Bandar Bukit Tinggi di sini, seluas 10 ekar.

"Ia membabitkan 10 blok bangunan (Blok A – K) dengan kapasiti sebanyak 986 unit rumah dan dihuni 4,437 orang penduduk majoriti rakyat tempatan," katanya.

Mengulas lanjut, tindakan PKPD itu dibuat susulan laporan pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang berhubung peningkatan kes covid-19 di kawasan pangsapuri itu membabitkan semua blok bangunan.

Katanya, sebanyak 224 kes positif secara kumulatif direkodkan sekitar kawasan itu sehingga semalam dan terdapat satu kematian membabitkan pesakit bukan warga negara.

"Dalam pada itu, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang menyeru semua pihak sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh PKPD," katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Jumaat lalu memaklumkan sebanyak 24 lokaliti meliputi 14 di Pahang, empat di Selangor serta masing-masing tiga di Sabah dan Sarawak dikenakan PKPD mulai semalam hingga 31 Julai.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata, PKPD di Selangor membabitkan Pangsapuri Damai, PJS 8 Damansara di Petaling; Jalan Pandan Indah, Ampang (Hulu Langat); Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi (Klang) dan Taman Samudera di Batu (Gombak).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 7:15 PM