BESI pemotong sawit. FOTO Ihsan PDRM
BESI pemotong sawit. FOTO Ihsan PDRM
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


Jempol: Tidak puas hati kerana dibaling serpihan kerusi plastik ketika sedang menunggang motosikal, seorang lelaki berusia 22 bertindak mencederakan rakan sekampungnya dalam kejadian pada 6.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, terdahulu, suspek tidak berpuas hati ke atas mangsa berusia 22 tahun yang membaling serpihan kerusi plastik pada kejadian Jumaat lalu di Felcra Rompin (B).

Katanya, keesokan harinya, suspek kemudian berjumpa mangsa yang sedang duduk diatas motosikal di tepi sebuah warung sambil membawa besi pemotong buah sawit.

"Suspek yang berkata, 'kau tak puas hati apa dengan aku', kepada mangsa kemudian menghayun besi pemotong buah sawit ke arah mangsa.

"Bagaimanapun, mangsa sempat menahan dengan tangan kiri dan selepas berbuat demikian suspek melarikan diri, "katanya hari ini.

Chang Hook berkata, mangsa kemudian menerima rawatan di Hospital Jempol dan doktor mengesahkan tangan kiri mangsa patah.

Katanya, suspek kemudian ditangkap polis pada 9 malam di rumahnya dan mengaku memukul mangsa selain polis turut merampas besi pemotong buah sawit.

" Permohonan reman akan dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Kuala Pilah dan polis menyiasat kes mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 9:17 AM