SHAHRIL berkata proses skin allograft juga boleh dikatakan berjaya tanpa sebarang masalah. FOTO NSTP
SHAHRIL berkata proses skin allograft juga boleh dikatakan berjaya tanpa sebarang masalah. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Shah Alam: Penyokong bola sepak tanah air sudah pastinya boleh menarik nafas lega apabila tonggak Harimau Malaya Faisal Halim menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani proses rawatan skin allograft.

Situasi terbabit dinyatakan Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar selepas melawat Faisal yang juga tonggak Selangor FC semalam sekali gus memberi bayangan pemain terbabit bakal menjalani pembedahan seterusnya dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, proses rawatan skin allograft yang dijalankan bermula Khamis lalu dilihat sesuai selain tiada jangkitan kuman terhadap pemain terbabit.

"Setakat ini, saya lihat kondisi Faisal bertambah baik dengan proses skin allograft juga boleh dikatakan berjaya tanpa sebarang masalah.

"Kita lihat dalam tempoh sehari dua ini bagaimana perkembangan Faisal sebelum pakar perubatan menentukan rawatan seterusnya," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Faisal bakal menerima rawatan standard tertinggi apabila bakal dirawat menggunakan skin allograft yang dianggarkan bernilai RM30,000.

Cara berkenaan digunakan sekiranya pesakit tidak memiliki kulit yang cukup untuk digunakan bagi merawat dan menutup luka terbakar.

Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair, berkata pendekatan itu diambil sebagai prosedur untuk membantu proses pemulihan Faisal.

Rawatan itu juga menyebabkan Faisal 'dikawal ketat' tanpa boleh dilawati oleh individu dibimbangi menyebabkan jangkitan kuman terhadap pemain itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 12:26 PM