PETUGAS membawa makanan untuk diagihkan kepada orang ramai di Pusat Penilaian Covid-10 (CAC) Stadium Melawati, Shah. FOTO Aswadi Alias.
PETUGAS membawa makanan untuk diagihkan kepada orang ramai di Pusat Penilaian Covid-10 (CAC) Stadium Melawati, Shah. FOTO Aswadi Alias.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 mengikut kes harian untuk seluruh negara terus menunjukkan trend peningkatan, hari ini berada pada tahap 1.16, naik berbanding 1.14 direkodkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri yang mencatatkan nilai Rt tertinggi adalah Putrajaya, berada pada tahap 1.35.

"Negeri lain yang turut mencatatkan Rt melebihi 1.0 adalah Terengganu (1.26); Selangor (1.19); Kedah (1.17); Pahang (1.14); Kuala Lumpur (1.11) dan Pulau Pinang (1.11).

"Selain itu, Melaka (1.10); Sabah (1.07); Negeri Sembilan (1.06); Johor (1.05); Perak (1.04) dan Kelantan (1.02)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, peningkatan kes harian adalah sejajar dengan jumlah kenaikan saringan bertumpu yang giat dijalankan di seluruh negara khususnya Lembah Klang.

Katanya, jumlah ujian harian tertinggi bagi tempoh dua minggu direkodkan semalam sebanyak 131,706 ujian menggunakan RT-PCR dan RTK-Ag.

"Namun, masih terdapat kapasiti untuk menjalankan lebih banyak ujian terutamanya di makmal swasta," katanya.

Katanya, kapasiti itu akan digunapakai sebaiknya bagi menjalankan lebih banyak ujian Covid-19 secara strategik.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 8:39 PM