GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 531 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 499 dikenakan kompaun manakala 32 direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (114), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dan makan di premis (109), tidak memakai pelitup muka (69) dan 66 kerana gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis.

Selain itu, 44 kerana tidak patuh arahan kawalan pergerakan, membawa penumpang berlebihan (38), premis gagal patuhi arahan (20), majikan gagal memastikan kapasiti kehadiran pekerja dan menjalani ujian saringan (13) serta 58 bagi lain-lain kesalahan.

"Op Benteng turut menahan 10 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas 12 kenderaan darat serta sebuah bot.

"Seramai 680 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, 700,504 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 36,417 majikan.

"Semalam, 61 warga asing menjalani ujian saringan dan 14 daripadanya positif Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 7:12 PM