OPERASI Pamah di Hutan Simpan Batu Talam yang diceroboh untuk tanaman durian Musang King. FOTO MOHD RAFI MAMAT
OPERASI Pamah di Hutan Simpan Batu Talam yang diceroboh untuk tanaman durian Musang King. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Raub: Kawasan kebun durian Musang King yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Kekal Batu Talam adalah kawasan tadahan air yang menjadi sumber air penduduk daerah ini.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub, Shahril Mohamad berkata, hutan seluas 62,070 hektar itu sudah diwartakan sebagai kawasan hutan tadahan air pada 2002.

Menurutnya, undang-undang menetapkan tiada sebarang aktiviti dibenarkan untuk dilakukan dalam hutan simpan kekal malah individu yang ingin memasukinya juga perlu memiliki permit dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Katanya, Operasi Pamah membabitkan kerja memusnahkan kira-kira 15,000 pokok durian Musang King yang sedang dijalankan JPNP di Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang membabitkan kawasan seluas kira-kira 101 hektar bertujuan untuk mengekalkan kawasan tadahan air di daerah ini.

"Kepentingan mengekalkan kawasan tadahan air perlu diberi perhatian serius kerana ia membabitkan sumber air untuk kegunaan masyarakat setempat.

"Tanpa sumber air yang mencukupi pengguna pasti akan menyalah kerajaan termasuk agensi berkaitan, justeru sebelum perkara buruk berlaku tindakan terbaik perlu dilakukan," katanya, dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, Hutan Simpan Kekal Batu Talam membekalkan air kepada Sungai Sempam yang mengalir bertemu Sungai Liang dan membentuk Sungai Semantan, sumber air sungai berkenaan diproses di loji Semantan untuk kegunaan pengguna.

Shahril berkata, di daerah ini terdapat tujuh hutan simpan kekal yang diwartakan sebagai kawasan hutan tadahan air, antaranya Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Hutan Simpan Kekal Gunung Benom, Hutan Simpan Kekal Teranum, Hutan Simpan Kekal Sungai Sia, Hutan Simpan Kekal Rotan Tunggal dan Hutan Simpan Kekal Bukit Kajang.

Katanya, PHD Raub sentiasa bertindak tegas terhadap pihak menceroboh hutan simpan kekal di daerah ini, mereka yang menceroboh boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984, sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM10,000 atau penjara tiga tahun atau keduanya sekali.

"Dalam tempuh enam bulan tahun ini kita sudah mengadakan dua operasi musnah tidak termasuk Operasi Pamah yang sedang berjalan sekarang Hutan Simpan Batu Talam.

"Kegiatan menceroboh hutan simpan kekal di daerah ini lebih tertumpu pada aktiviti pertanian dengan tanaman durian Musang King dan pisang serta beberapa jenis tanaman kontan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 10:25 AM