KAKITANGAN Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menanam pokok di Hutan Simpan Kekal Batu Talam. FOTO MOHD RAFI MAMAT
KAKITANGAN Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menanam pokok di Hutan Simpan Kekal Batu Talam. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat

Raub: Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat kini sedang menjalankan kerja menanam pokok hutan di kawasan Hutan Simpan Batu Talam (HSBT) yang dijadikan kebun durian Musang King secara haram sebelum ini.

Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Wan Ghazali Wan Ali berkata, sebanyak 8,000 pokok berjaya ditanam dalam tempoh seminggu.

Menurutnya, seramai antara 60 hingga 75 kakitangan JPNP menjalankan kerja menanam setiap hari dan mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

"Bentuk muka bumi yang berbukit di kawasan terbabit antara cabaran terpaksa dihadapi petugas.

"Disebabkan kenderaan pacuan empat roda tidak dapat ke kawasan terbabit, aktiviti memindahkan anak pokok terpaksa dilakukan menggunakan raga yang diubah suai untuk digalas.

"Program menanam pokok hutan terdiri daripada jenis Merawan, Meranti, Balau, Keruing dan beberapa spesies lain dilakukan tanpa henti hingga selesai, dijangkakan sebanyak kira-kira 20,000 pokok akan ditanam dalam kawasan seluas 101 hektar.

"Tugas menanam pokok kini dilakukan secara bergilir membabitkan semua Pejabat Hutan Daerah (PHD) di negeri ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

HSBT menjadi lokasi Operasi Pamah bermula 3 Julai lalu selepas ia diceroboh pihak tidak bertanggungjawab yang menjadikan kebun durian Musang King.

Wan Ghazali berkata, pihaknya menggunakan anak pokok hutan yang terdapat di tapak semaian Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat Rotan Tunggal di sini, selebihnya akan diambil di beberapa PHD lain untuk ditanam di kawasan itu.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha secepat mungkin untuk selesaikan kerja menanam pokok hutan di kawasan terbabit, jabatan tidak boleh melengahkan kerja berkenaan bagi mengelak kejadian hakisan dan pencemaran sumber air.

Menurutnya, HSBT merupakan kawasan tadahan air yang diwartakan pada 2002, sekiranya pencemaran berlaku ia akan menjejaskan sumber air penduduk daerah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 4:19 PM