KAKITANGAN JPNP menanam pokok sentul di kawasan Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang diceroboh sebelum ini. FOTO Mohd Rafi Mamat
KAKITANGAN JPNP menanam pokok sentul di kawasan Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang diceroboh sebelum ini. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Raub: Pejabat Pembangunan Hutan (PPH) Pahang Barat menanam 610 pokok nadir spesies tampoi dan sentul di kawasan Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang dijadikan kebun durian Musang King secara haram sebelum ini.

Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Wan Ghazali Wan Ali berkata, selain dua spesies berkenaan, pihaknya akan menanam pokok ara di kawasan lembah serta tepi sumber air.

Menurutnya, 200 pokok sentul dan 410 pokok tampoi berumur enam bulan hingga setahun sudah ditanam dalam kawasan yang berbukit itu.

"Saya yakin dua spesies pokok nadir berkenaan mampu hidup subur di kawasan hutan simpan terbabit yang persekitarannya agak sejuk dan berangin serta yang tanah subur.

"Difahamkan dalam masa antara 12 hingga 15 tahun akan datang pokok berkenaan yang mencapai ketinggian beberapa meter akan mengeluarkan hasil," katanya, di sini, hari ini.

Beliau menambah, pokok nadir ditanam bagi menjadikan kawasan terbabit sebagai hutan semulajadi kerana pokok tampoi dan sentul antara pokok hutan di negeri ini.

Wan Ghazali berkata, sehingga semalam, pihaknya sudah menanam 12,295 pokok hutan pelbagai spesies di Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang sebelum ini diteroka secara haram.

"Program menanam pokok hutan terdiri daripada jenis Merawan, Meranti, Balau, Keruing dan beberapa spesies lain dilakukan hingga selesai. Kira-kira 20,000 pokok akan ditanam dalam kawasan seluas 101 hektar," katanya.

Hutan Simpan Kekal Batu Talam menjadi lokasi Operasi Pamah bermula 3 Julai lalu selepas ia diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Hutan Simpan Batu Talam juga merupakan kawasan tadahan air yang diwartakan pada 2002, sekiranya pencemaran berlaku ia akan menjejaskan sumber air penduduk daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 11:53 AM