PEKEBUN durian Musang King hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Raub. FOTO Ihsan pembaca.
PEKEBUN durian Musang King hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Raub. FOTO Ihsan pembaca.
Mohd Rafi Mamat


Raub: Lapan pekebun durian Musang King sudah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, berhubung isu penanaman durian di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tras, Chow Yu Hui berkata, semua pekebun terbabit hadir di pejabat SPRM Raub bagi memberikan keterangan bermula 10 pagi hingga 4 petang.

"Semua pekebun terbabit memberikan keterangan dan bekerjasama penuh dalam suasana yang baik.

"Tiada pekebun yang ditahan pihak SPRM setakat ini dan semua berjalan dengan baik serta lancar," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam kes ini semua pekebun terbabit turut diwakili peguam yang dilantik bagi berhadapan dengan isu berkenaan.

Kira-kira 15,000 pokok durian Musang King yang ditanam secara haram dalam kawasan HSK Batu Talam dimusnahkan dalam masa sembilan hari Operasi Pamah sejak 3 Julai lalu.

Kini Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah memulakan aktiviti menanam pelbagai spesies pokok hutan yang dianggarkan berjumlah 20,000 pokok bagi menggantikan durian Musang King yang ditebang.

Hari kedua Operasi Pamah itu berlaku kekecohan berikutan provokasi pekebun yang cuba menghalang kakitangan JPNP menebang pokok durian Musang King yang sedang berbuah, berikutan itu seramai 18 individu dipercayai pekebun ditahan reban kerana memasuki hutan simpan kekal tanpa permit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 8:59 PM