LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tiada pencemaran dikesan di perairan Muar setakat ini, berikutan insiden perlanggaran sebuah kapal tangki dan kapal kargo di perairan berkenaan, tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan, Dickson Dollah berkata, ia hasil pemantauan dilakukan pasukan peninjau di sekitar perairan Muar sejak tengah hari tadi.

Katanya, satu pasukan peninjau pencemaran membabitkan 10 anggota agensi itu serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Bahru dan Muar melakukan pemantauan sekitar perairan Muar.

"Pasukan peninjau mengesan satu tan minyak hidraulik di sekitar kapal tangki MV Galapagos yang berselerak dalam jarak 50 meter di sekitar kapal itu.

"Bagaimanapun selepas cuaca panas diikuti hujan lebat serta gelombang kuat petang tadi, kesan tumpahan minyak hidraulik dikesan semakin hilang.

"Kita jangka kesan tumpahan minyak akan hilang sepenuhnya menjelang esok.

"Jabatan Laut juga mendapatkan laporan dari kapal yang belayar di kawasan perairan berdekatan namun setakat ini masih tiada kesan tompokan tumpahan minyak dilaporkan," katanya ketika dihubungi.

Hari ini media melaporkan, sebuah kapal tangki, MV Galapagos dan MV Zephyr Lumos, sebuah kapal kargo, berlanggar di perairan Muar, jam 12.03 tengah malam tadi.

Kegagalan sistem kemudi dipercayai menjadi punca pelanggaran dua kapal berkenaan.

Mengulas lanjut, Dickson berkata, tiada kesan tumpahan minyak dikesan di sekitar kapal MV Zephyr Lumos.

Katanya, dron milik Jabatan Laut Wilayah Selatan tidak dapat diterbangkan berikutan cuaca buruk sejak awal petang tadi.

"Bagaimanapun pasukan peninjau pencemaran akan terus memantau keadaan bagi memastikan kawasan perairan Muar bebas pencemaran," katanya.

Berita berkaitan

  • Sistem kemudi rosak punca 2 kapal berlanggar di perairan Muar
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 7:56 PM