DUA kapal yang berlanggar namun tiada kemalangan jiwa. FOTO Ihsan Maritim Johor
DUA kapal yang berlanggar namun tiada kemalangan jiwa. FOTO Ihsan Maritim Johor
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Sebuah kapal tangki dan kapal kargo berlanggar di perairan Muar, kira-kira jam 12.03 tengah malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat menerusi Maritime Rescue Coordinator Centre (MRCC) Putrajaya.

Katanya, isyarat kecemasan dari kapal kargo bertanda nama MV Zephyer Lumos dan kapal tangki bertanda nama MV Galapagos diterima menerusi Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Pekan Baru, Indonesia.

"Masing-masing pada kedudukan 14.1 barat daya Kuala Sungai Muar.

"Sejurus menerima maklumat, MRSC Johor Bahru menyalurkan maklumat kepada Zon Maritim Batu Pahat (ZMBP) dan Pos Pengkalan Hadapan (FOB) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Batu Pahat bagi memohon bantuan aset.

"Kilat 47 dari ZMBP dan PSC 37 Pasukan Polis Marin (PPM) diaturgerak ke lokasi kejadian bagi mendapatkan gambaran kejadian.

"Hasil pemerhatian dan pemantauan di lokasi kejadian mendapati kapal MV Zephyr Lumos terlanggar kapal kapal MV Galapagos dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Laut Wilayah Selatan (JLWS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan tindakan lanjut akan dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 9:05 AM