LAUT kuning.
LAUT kuning.
AFP

Beijing: Hampir 400 tan minyak tumpah di Laut Kuning, perairan China selepas kapal tangki berlanggar dengan sebuah kapal, pagi Selasa lalu.

Pihak berkuasa maritim China mengesahkan kejadian perlanggaran dua kapal itu berlaku di luar pelabuhan minyak mentah terbesar China.

"Pelanggaran itu tidak menjejaskan keluar masuk kapal di Pelabuhan Qingdao.

"Jumlah minyak yang tumpah dari kapal itu ke lautan kira-kira 400 tan dan kerja membersihkan sisa minyak itu dilakukan dengan teratur.

"Kebocoran minyak itu dibersihkan sepenuhnya dan jika kawalan teknologi dilakukan, ia akan memberi kesan minimum kepada alam sekitar," kata seorang pegawai Pentadbiran Keselamatan Maritim Shandong dalam kenyataan di muat naik di media sosial.

Katanya, sebanyak 12 kapal dikerahkan untuk membantu tugas membersihkan sisa tumpahan minyak sejauh 40 batu nautika dari pesisir pantai Pelabuhan Qingdao, timur laut China.

Sebelum ini, Pengurus Kapal Goodwood Ship Management mengesahkan kapal pengangkut pukal Panama Sea Justice berlanggar dengan kapal tangki minyak Liberia A Symphony berdekatan Qingdao, 9 pagi, Selasa lalu.

"Jumlah kru kapal masih belum pastikan dan tiada kecederaan dilaporkan," katanya.

Dalam kenyataan berasingan pada Khamis, syarikat itu menjamin, pihaknya bekerjasama rapat dengan MSA dalam operasi membersihkan sisa tumpahan minyak serta penyiasatan insiden itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 3:33 PM