Singwa Ngap (kiri) ditemukan selamat pagi tadi. FOTO Norsyazwani Nasri
Singwa Ngap (kiri) ditemukan selamat pagi tadi. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri

Kanowit: Selepas empat hari tidak pulang ke rumahnya di Tanjung, Sungai Ranan di sini, seorang warga emas ditemukan selamat pada pagi hari ini.

Mangsa, Singwa Ngap, 66, yang mengalami masalah sebelah tangannya tidak dapat digerakkan dan mengidap penyakit sawan ditemui penduduk kampung pada 7.45 pagi di kawasan rumah panjang tuai rumah Inyang Kanowit kira-kira sembilan kilometer dari rumahnya.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Mangsa dilaporkan hilang ketika menghantar bekalan makanan untuk isterinya yang bekerja di ladang sawit Pelita Kanowit pada 6 petang Selasa lalu.

"Warga emas itu dilaporkan tidak sampai ke lokasi isterinya dan selepas dia tidak pulang ke rumah pada 9 malam, ahli keluarganya membuat laporan kehilangannya di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak bomba bersama polis dan penduduk kampung kemudiannya melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di kawasan sungai dan hutan yang dipercayai menjadi laluannya.

"Semalam, pasukan SAR mengesan tapak kaki dipercayai milik mangsa dan juga makanan (buah nanas) di kawasan pencarian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 4:11 PM