CHIA (kiri) ditemui dalam keadaan selamat selepas dilaporkan hilang di Sungai Lukut, Kanowit semalam. FOTO Melvin Joni
CHIA (kiri) ditemui dalam keadaan selamat selepas dilaporkan hilang di Sungai Lukut, Kanowit semalam. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

Kanowit: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di Sungai Lukut, di sini, sejak semalam ditemukan selamat oleh ahli keluarganya awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, Chia Li Tung, 72, ditemukan sekitar jam 3 pagi di dalam hutan, pada jarak kira-kira tiga kilometer daripada rumahnya.

"Mangsa dijumpai oleh ahli keluarganya sendiri dan dia selamat, cuma dalam keadaan keletihan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Chia dilaporkan hilang pada jam 10 malam semalam selepas pergi ke kawasan hutan berdekatan sekitar jam 7 pagi untuk mencari hasil hutan.

Usaha mencarinya dilakukan ahli keluarga bersama-sama jirannya tetapi gagal menemuinya.

Susulan laporan yang dibuat, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit bersama-sama penduduk kampung namun sehingga jam 12 tengah malam, dia masih gagal dijumpai.

Operasi SAR kemudiannya ditangguhkan dan dijadual bersambung semula pagi ini, namun ditamatkan selepas mangsa dijumpai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 5:43 PM