Shamran Sarahan

Kanowit: Keupayaan kerajaan membelanjakan RM800 juta bagi meningkatkan kecekapan sistem perhubungan di Wilayah Tengah Sarawak adalah hasil keberkesanan pelaksanaan Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST) yang dilihat berupaya memperkasakan lagi asas kewangan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sekalipun ada pihak yang memandang negatif usaha kerajaan memperkenalkan GST sebelum ini, namun pelaksanaan cukai itu membolehkan kerajaan memperoleh pendapatan tambahan untuk disalurkan bagi pembangunan di kawasan luar bandar.

Menurut Najib, di sebalik ketidaktentuan ekonomi global, pelaksanaan GST memungkinkan kerajaan melaksanakan pelbagai projek di kawasan luar bandar sebagaimana projek pembinaan jalan yang bakal menghubungkan Kanowit, Song hingga Kapit ini dengan lokasi lain di Sarawak.

“Saya juga sering sebutkan, walaupun ekonomi dunia tidak begitu menentu dan mengancam kita, tambahan pula dengan kejatuhan harga minyak yang begitu ketara, tetapi pelaksanaan GST memungkinkan kita melaksanakan projek infrastruktur untuk luar bandar.

“Tanpa GST tidak mungkin kita dapat laksanakan pembinaan jalan dari Kanowit, Song hingga ke Kapit ini, bahkan tanpa GST kita tidak dapat melaksanakan projek pembangunan lain seperti pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

“Janganlah kita mengutuk GST tanpa kita menyedari tujuan GST adalah untuk mengukuhkan punca atau asas kewangan kerajaan kerana dalam negara, kita hanya ada 10 peratus orang bekerja yang membayar cukai,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Tinjauan Mesra Bersama Penduduk di Taman Muhibbah di sini, semalam.

Najib diiringi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kemajuan Tanah Sarawak Tan Sri James Jemut Masing dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi yang juga Ahli Parlimen Kapit.

Najib berkata, perbelanjaan RM800 juta di Kanowit, Song dan Kapit itu akan menyambungkan laluan terputus membabitkan pembinaan jalan baru, melebarkan jalan sedia ada dan pembinaan jambatan yang keseluruhannya sepanjang 101.9 kilometer yang dijangka siap sepenuhnya pada 2018.

Beliau berkata, pembinaan laluan terputus dan pintasan itu juga bakal mengubah wajah Kapit yang akan menghubungkannya dengan dunia luar memandangkan ketika ini kawasan itu hanya boleh dihubungi melalui laluan sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 5:15 AM