GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Isu pinjaman melalui ceti haram atau along semakin membimbangkan dan secara purata, sebanyak 10 aduan diterima setiap hari.

Aduan yang diterima oleh Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) itu dilihat semakin meningkat kebelakangan ini dan agak merisaukan apabila ia mula membabitkan peminjam dalam golongan muda.

Yang Dipertua PPIK, Datuk Seri Dr Fared Abd Ghani berkata, antara faktor yang dikenal pasti menjurus kepada pinjaman along itu adalah terbabit dengan permainan dalam talian serta berhabis demi teman wanita.

"Kira-kira 300 kes diterima setiap bulan dan terbaharu yang diadu kepada kami adalah membabitkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang membuat pinjaman daripada beberapa ceti haram dengan jumlah bayaran balik mencecah RM5,000.

"Permainan judi dalam talian dikenal pasti antara faktor penyumbang kepada kes pinjaman along dan kesudahannya peminjam gagal membayar balik disebabkan bunga yang dikenakan terlalu tinggi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Fared berkata, selain itu ada juga pinjaman yang membabitkan peniaga dengan nilai yang sangat tinggi dan kadar bunga yang dikenakan juga mencecah RM1 juta.

Menurutnya lagi, satu gerakan kesedaran kepada masyarakat perlu diambil segera bagi menangani isu pinjaman ceti haram bagi mengelakkan kesan yang lebih besar terjadi.

"Inisiatif di pihak kami selepas membantu mangsa keluar dari masalah itu adalah memberi nasihat kesedaran agar tidak lagi mengulangi perbuatan meminjam dengan ceti haram," katanya.

Terdahulu beliau mewakili PPIK memberi sumbangan sebanyak 4,000 botol air mineral bagi kegunaan petugas barisan hadapan serta pesakit yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Sumbangan itu diterima Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali yang mengucapkan terima kasih atas sumbangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 4:13 PM