Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) menawarkan diri untuk membantu kerajaan negeri meningkatkan kadar peratusan vaksinasi di Kelantan.

Yang Dipertua PPIK, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, kadar vaksinasi lengkap di Kelantan masih rendah iaitu 81.2 peratus bagi populasi dewasa sehingga semalam.

Beliau berkata, peratusan itu menunjukkan jumlah vaksin di negeri ini masih lagi rendah berbanding negeri lain yang sudah melebihi 90 peratus.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

"Ia menunjukkan pendekatan kempen dilakukan pelbagai pihak kurang berkesan untuk menarik golongan anti vaksin mendapatkan vaksinasi.

"Namun, kami menawarkan diri untuk membantu dengan menggunakan pendekatan kekeluargaan dan memujuk individu enggan mengambil suntikan supaya menerima vaksin.

"Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) lain akan turut membantu dengan turun padang berjumpa masyarakat terutama di kawasan pondok pengajian agama dan pedalaman yang dilihat masih ramai tidak menerima vaksin," katanya ketika ditemui di pejabat The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Kota Bharu, hari ini.

YANG Dipertua PPIK, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani. FOTO HIDAYATIDAYU RAZALI.
YANG Dipertua PPIK, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani. FOTO HIDAYATIDAYU RAZALI.

Mohd Fared berkata, hasil pemerhatian dan turun padang oleh pihaknya, beliau mengesan wujud individu tidak mahu divaksinasi kerana mereka fobia terhadap jarum suntikan.

Justeru, beliau mahu kerajaan memberi peluang kepada NGO membantu memujuk golongan tidak mahu divaksin dengan memberi vaksin jenis CanSino kerana vaksin itu hanya satu dos sahaja.

"Lebih 2,000 ahli PPIK akan membantu kerajaan untuk berjumpa masyarakat bagi memujuk mereka mengambil vaksin.

"Kami bimbang kerana kes di Kelantan masih tinggi, sedangkan jumlah vaksinasi rendah akan memberi kesan kepada individu dan orang di sekeliling.

"Sebagai contoh, saya dapati kes di Bachok hampir setiap hari terdapat 50 individu positif Covid-19 dan mereka mendapatkan rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 4:33 PM