Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada sebahagian penduduk Orang Asli pada Program Outreach Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan di Dewan Serbaguna Sungai Rual hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada sebahagian penduduk Orang Asli pada Program Outreach Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan di Dewan Serbaguna Sungai Rual hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan berdepan waktu sangat sibuk dan kritikal dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Menteri Penyelarasnya, Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia akan mula menerima bekalan dos vaksin dalam jumlah yang sangat besar mulai bulan ini hingga September.

Beliau berkata, sebagai perbandingan, jumlah vaksinasi yang dicatatkan sejak PICK mula dilaksanakan pada Februari lalu ialah sekitar lapan juta dos.

"Tetapi bagi Julai ini saja, kita bakal menerima bekalan vaksin lebih 12 juta dos. Sudah pasti Julai akan menjadi tempoh yang genting buat PICK apabila kapasiti pemberian vaksin ditingkatkan di seluruh negara.

"Bagi memastikan cabaran pada bulan-bulan mendatang dilalui dengan teratur dan lancar, kapasiti vaksinasi di seluruh negara akan ditingkatkan dengan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV)," katanya dalam video dimuat naik di Twitter, hari ini.

Menurut Khairy, PICK menunjukkan kemajuan memberangsangkan dengan kadar purata vaksinasi mencecah hampir 170,000 suntikan sehari pada Jun iaitu melepasi sasaran 150,000.

Katanya, kadar vaksinasi harian negara juga sudah melepasi purata per kapita vaksinasi dunia dengan merekodkan 200,000 suntikan secara konsisten.

"Bagi bulan Julai, kita mensasarkan kadar vaksinasi meningkat kepada 300,000 suntikan sehari.

"Pada hujung Mei lalu, jumlah individu yang menerima sekurang-kurangnya satu dos adalah sebanyak 5.9 peratus populasi negara dan sekarang, 18 peratus.

"Dalam erti kata lain, jumlah penerima dos pertama meningkat 200 peratus pada Jun," katanya.

Tambahnya, sehingga kini sebanyak 60 peratus warga emas berdaftar sudah menerima satu dos vaksin.

"Kita berharap vaksinasi kepada warga emas dapat diselesaikan menjelang akhir bulan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 4:36 PM