FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Raja Noraina Raja Rahim dan Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Sebanyak 20 juta dos vaksin sudah diberikan kepada rakyat negara ini sehingga semalam.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, kadar vaksinasi tertinggi adalah pada 29 Julai lalu membabitkan 556,404 dos suntikan dalam tempoh sehari.

Menurut Khairy, purata pemberian vaksin sepanjang tujuh hari lalu turut meningkat kepada 533,832 dos berbanding 423,265 pada minggu sebelumnya iaitu peningkatan sebanyak 26 peratus.

"Sebanyak 12,449,975 suntikan dos diberikan di seluruh negara sepanjang Julai lalu.

"Purata pemberian vaksin harian sepanjang Julai adalah 398,843 iaitu meningkat sebanyak 136 peratus berbanding purata pemberian dos pada Jun ," katanya pada sidang media perkembangan PICK secara maya tadi.

Dalam pada itu, Khairy berkata, seramai 20.9 juta individu berdaftar dengan PICK setakat semalam.

Katanya, 6.2 juta individu direkodkan berdaftar pada fasa dua dan 14.7 juta dalam fasa tiga.

"Manakala jumlah warga emas berdaftar mencecah 9.3 peratus. Daripada jumlah warga emas berdaftar itu, seramai tiga juta sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan dan 2.25 juta bersamaan 71 peratus melengkapkan vaksinasi mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 4:16 PM