GAMBAR Hiasan. Foto Arkib NSTP
GAMBAR Hiasan. Foto Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Malaysia tidak terjejas dengan fenomena cuaca panas yang berlaku di Amerika Syarikat dan Kanada pada masa ini.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) Jailan Simon berkata, negara kini berada pada pertengahan fasa Monsun Barat Daya yang akan berakhir pada September ini.

Katanya, dalam tempoh itu, pihaknya menjangkakan suhu yang lebih rendah daripada biasa pada Julai kerana hujan lebih banyak dan cuaca lembab.

"Keadaan ini disebabkan peralihan fasa daripada La Nina kepada ENSO Neutral.

"MetMalaysia menjangkakan taburan hujan normal mulai Ogos.

"Kita tidak menjangkakan suhu luar biasa panas akan berlaku di Malaysia pada tahun ini," kata kenyataan itu.

Jailan berkata, Kanada dan Barat Laut Amerika Syarikat sedang mengalami cuaca panas dan gelombang haba dengan catatan 47 darjah Celcius dan 46.6 darjah Celcius.

Menurutnya, ia berlaku disebabkan sistem tekanan udara tinggi hampir statik iaitu bergerak sangat perlahan di kawasan itu akibat keragaman iklim.

Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial dan talian hotline MetMalaysia bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 5:57 PM