PENDUDUK di Kampung Paya Bakau, Kota Kuala Muda, Penaga, Kepala Batas melalui sebahagian kawasan tanah kering dan merekah akibat cuaca panas berpanjangan. FOTO Amir Irsyad Omar
PENDUDUK di Kampung Paya Bakau, Kota Kuala Muda, Penaga, Kepala Batas melalui sebahagian kawasan tanah kering dan merekah akibat cuaca panas berpanjangan. FOTO Amir Irsyad Omar
Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: Enam kawasan direkodkan melebihi paras ambang gelombang haba ekoran cuaca panas yang melanda negara ketika ini berpunca daripada fenomena El Nino kuat sejak 16 Mac lalu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, lokasi berkenaan membabitkan Chuping; Perlis, Alor Setar; Kedah, Ipoh dan Lubuk Merbau; Perak serta Batu Embun dan Temerloh; Pahang.

"Fenomena El Nino adalah keragaman iklim (climate variability) yang berlaku secara tidak tetap dalam tempoh dua hingga tujuh tahun.

" Keadaan cuaca panas ini boleh mencetuskan gelombang haba iaitu situasi yang membawa risiko kesihatan strok haba atau hipertemia serta dehidrasi," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, petunjuk paras ambang gelombang haba adalah apabila suhu tertinggi harian atau suhu maksimum sesuatu lokasi mencapai 35 darjah celcius untuk lima hari berturut-turut dan melebihi dua darjah celcius daripada purata jangka panjang suhu maksimum.

"Antara lain, suhu tertinggi harian mencapai atau melebihi 37 darjah celcius untuk tempoh tiga hari berturut-turut bagi kawasan berkenaan," katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti luar terutama golongan warga emas, kanak-kanak serta mereka yang sensitif terhadap cuaca panas.

"Mereka juga disarankan supaya meminum lebih banyak air dan merujuk kepada pakar kesihatan sekiranya mengalami strok haba," katanya.

Menurut laporan Jabatan Meteorologi pada 8 Mac lalu, cuaca panas berikutan fenomena El Nino yang dialami sekarang diramal kembali normal pada Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 3:58 PM