CUACA panas dan kering di Butterworth. MetMalaysia menjangkakan cuaca kering dan panas di beberapa tempat terutama di utara Semenanjung Malaysia akan berterusan. FOTO Danial Saad
CUACA panas dan kering di Butterworth. MetMalaysia menjangkakan cuaca kering dan panas di beberapa tempat terutama di utara Semenanjung Malaysia akan berterusan. FOTO Danial Saad
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kangar, Perlis merekodkan suhu melebihi 35 darjah celsius manakala Alor Setar, Kedah terus merekodkan suhu melebihi 36 darjah celsius hari ini.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan cuaca kering dan panas di beberapa tempat terutama di utara Semenanjung Malaysia akan berterusan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, hujan berserta ribut petir berpotensi berlaku di beberapa lokasi di pedalaman dan barat Semenanjung.

"Keadaan ini boleh meredakan cuaca panas di kawasan itu," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Kelmarin, MetMalaysia dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan kawasan Pokok Sena di Kedah merekodkan suhu panas tahap dua atau gelombang haba, iaitu merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Suhu panas tahap satu atau berjaga-jaga pula merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Suhu panas tahap berjaga-jaga turut direkod di 21 kawasan iaitu seluruh Perlis; Pulau Langkawi, Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Yan, Pendang serta Baling di Kedah; Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Timur Laut di Pulau Pinang.

Sementara itu, Muhammad Helmi berkata berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak.

"Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di tengah dan selatan Sarawak.

"Sehubungan itu, MetMalaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) untuk Sarawak berkuat kuasa sehingga esok," katanya.

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan Malaysia berada dalam fasa akhir monsun timur laut yang secara lazim menyaksikan kawasan utara Semenanjung mengalami litupan hujan dan taburan hujan yang kurang selain menyebabkan cuaca lebih panas serta kering berbanding kebiasaan.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 4:19 PM