DR Zulkifli (kiri) ketika melawat keluarga yang kematian kedua ibu bapa dalam tragedi Covid-19 di Bandar Sunggala, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
DR Zulkifli (kiri) ketika melawat keluarga yang kematian kedua ibu bapa dalam tragedi Covid-19 di Bandar Sunggala, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: "Ambillah vaksin ini tanpa ragu-ragu berhubung kewujudan Covid-19 kerana ia benar dan mati itu benar," ujar

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, pihaknya sedih terhadap nasib lima beradik yang kehilangan ibu bapa mereka yang dijangkiti wabak Covid-19.

Tragedi itu meragut nyawa, Rodzi Tahar, 55, yang menghembuskan nafas terakhir selepas menerima rawatan di Hospital Tampin pada 31 Mei lalu disusuli isterinya, Nazita Idris, 45, yang meninggal dunia enam hari kemudian ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban (HTJS).

Kematian pasangan itu menyebabkan anak mereka, Muhammad Khierzamani Rodzi, tujuh tahun, Muhammad Haiqiel Rodzi, 13, Nurhairieka Rodzi, 18, Muhammad Hairie Rodzi, 20, dan Muhammad Haidir Rodzi, 23, hilang tempat bergantung.

Zulkifli yang melawat keluarga itu di sini, semalam, jelas merasai kesedihan dialami lima beradik itu.

"Keluarga ini menerima dugaan luar biasa apabila mereka menjadi yatim piatu akibat wabak berbahaya Covid-19.

"Lawatan ini adalah koloborasi antara pihak Kementerian dan juga Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Keluarga ini akan terus dibantu terutama anak-anak pasangan terbabit yang masih bersekolah," katanya tadi.

Beliau berkata, masyarakat tidak harus mengambil mudah dan perlu sentiasa mendengar nasihat kerajaan kerana Covid-19 itu benar wujud.

"Ambillah vaksin ini tanpa ragu-ragu berhubung kewujudan Covid-19 kerana ia benar dan mati itu benar.

"Ambillah vaksin dan suntikan untuk melindungi diri kita serta masyarakat supaya kita dapat keluar dari masalah ini (Covid-19) secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, nenek lima beradik ini, Faridah Md Shahar, 74, berkata, dia sangat terharu kerana keluarganya tidak putus-putus menerima lawatan pelbagai pihak yang bersimpati/

"Kali ini Menteri Agama pula datang melawat dan memberikan sumbangan. Sekurang-kurangnya dapat meredakan kesedihan kami sekeluarga," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 7:05 PM