Mohamed Azmin pada sidang media ketika hadir meninjau Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 di Bukit Jawi Golf Resort, Jawi. FOTO DANIAL SAAD
Mohamed Azmin pada sidang media ketika hadir meninjau Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 di Bukit Jawi Golf Resort, Jawi. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu sidang parlimen diadakan secepat mungkin supaya proses demokrasi dapat disuburkan semula.

Ketua Penerangan PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum itu tidak pernah mengatakan bahawa parlimen tidak akan bersidang namun, beliau bertindak mengikut peruntukan perlembagaan selain mengikut masa yang bersesuaian untuk mengadakan persidangan.

"Dalam konteks sidang parlimen, Perdana Menteri sendiri selaku ketua majlis telah mengatakan beberapa hari yang lalu bahawa parlimen akan bersidang.

"Kita tidak pernah mengatakan parlimen tidak akan bersidang tetapi selaku ketua majlis, beliau bertindak mengikut peruntukan perlembagaan selain mengikut masa yang bersesuaian untuk mengadakan persidangan.
"Jadi bagi saya, titah Yang di-Pertuan Agong adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk mengadakan sidang parlimen dalam masa yang sesuai supaya proses demokrasi ini akan terus disuburkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu sidang parlimen diadakan secepat mungkin pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bukit Jawi Golf Resort di sini, sempena Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) Covid-19.

Mohamed Azmin berkata, apa jua tindakan atau usaha yang diambil kerajaan adalah berpegang kepada prinsip undang-undang dan perlembagaan.

"Kerajaan sentiasa memastikan apa jua tindakan atau usaha yang diambil berpegang pada undang-undang dan perlembagaan negara.

"Kita lihat beberapa tindakan sudah diambil dalam tempoh setahun yang lalu, semuanya adalah berlandaskan kepada lunas perlembagaan negara dan undang-undang," katanya.

Al-Sultan Abdullah semalam menzahirkan pandangan supaya persidangan parlimen diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dilaporkan berkata, ini bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan kelmarin, dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Kata Ahmad Fadil, pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar daripada pelbagai agensi kerajaan.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 2:55 PM