AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Raja.
AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Raja.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Proklamasi dan Ordinan Darurat boleh dibatalkan tanpa perlu dibahaskan di Parlimen, sekiranya mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Raja. Penganalisis politik dan perundangan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, kuasa mengisytihar darurat atau membubarkan ia tertakluk kepada Yang di-Pertuan Agong sama ada ketika Dewan Rakyat masih bersidang mahupun tidak.

"Yang Di-Pertuan Agong boleh membatalkan darurat bila-bila masa sahaja dan pengisytiharan darurat ini jelas di bawah Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Apabila darurat dibatalkan, semua undang-undang ketika darurat juga turut terbatal dan ini semua adalah di bawah kuasa Yang Di-Pertuan Agong," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan beberapa Ahli Parlimen hari ini yang mengatakan darurat perlu dibatalkan melalui Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Halim berkata, pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini mengenai pembatalan Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu adalah bertepatan dengan mesyuarat Kabinet terakhir.

"Jadi apabila surat Perdana Menteri (yang dipersembah kepada Al-Sultan Abdullah) dan telah diperkenankan, maka ia mengikut budi bicara Baginda untuk membatalkan darurat.

"Sebagaimana yang diisytiharkan tempoh hari yang darurat sehingga 1 Ogos, jadi sehingga tarikh itulah akan terbatal.

"Apabila darurat terbatal, undang-undang yang dibuat juga akan terbatal kecuali mereka (Ahli Parlimen) nak juga undang-undang itu, jadi kena bentangkan dalam Parlimen dan barulah undang-undang terbabit terpakai. Jika tidak, ia juga akan terbatal," katanya.

Beliau turut menasihati semua Ahli Parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang supaya bersidang dengan berhemah dan mematuhi peraturan Dewan Rakyat.

"Mereka semua diperhatikan dan jangan lupa persidangan ini ditonton oleh berjuta rakyat. Semua pihak perlu lebih menghormati Peraturan Mesyuarat dan Speaker yang menjadi peneraju utama persidangan, jadi janganlah biadap," katanya.

Terdahulu, dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini, Takiyuddin turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah mendapat persetujuan daripada Al-Sultan Abdullah untuk mengadakan Sidang Khas Dewan Rakyat dan meyakinkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk menasihati Baginda untuk mengisytiharkan darurat baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 8:23 PM