YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan.
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan Parlimen perlu bersidang secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda bertitah persidangan Parlimen itu bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat yang dikeluarkan dapat dibentang seperti termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuarat untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hari ini, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bersama timbalan mereka di Istana Negara.

Titah mengenai persidangan Parlimen ini sekali lagi dibuat Al-Sultan Abdullah yang bertitah perkara sama sebelum ini selepas berkenan menerima mengadap ketua parti politik negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 2:36 PM