PETUGAS kesihatan menyediakan vaksin Covid-19 sebelum membuat suntikan kepada penerima di Kuala Terengganu, semalam. Kerajaan mengaktifkan Fasa 4 PICK di kawasan industri dengan permulaan pemberian kira-kira 30,000 dos vaksin Covid-19 kepada pekerja industri yang beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Ghazali Kori
PETUGAS kesihatan menyediakan vaksin Covid-19 sebelum membuat suntikan kepada penerima di Kuala Terengganu, semalam. Kerajaan mengaktifkan Fasa 4 PICK di kawasan industri dengan permulaan pemberian kira-kira 30,000 dos vaksin Covid-19 kepada pekerja industri yang beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Ghazali Kori
Rafidah Mat Ruzki dan Luqman Ariff Abdul Karim


Putrajaya: Kerajaan sudah mengaktifkan Fasa 4 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kawalan wabak di kawasan industri dengan permulaan pemberian kira-kira 30,000 dos vaksin Covid-19 kepada pekerja industri yang beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, ia adalah keputusan bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV).

Beliau berkata, satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala pelalian akan bermula pada 16 Jun ini.

Katanya, pelalian akan mula dibuka di beberapa sektor yang perlu terus beroperasi sepanjang PKP 3.0 ketika ini.

"Selepas itu PPV industri akan dibuka kepada sektor lain iaitu pembinaan, peladangan, peruncitan dan hospitaliti.

"Ia akan digerakkan secara berperingkat-peringkat bagi memastikan setiap sektor yang beroperasi akan dapat dilindungi daripada wabak," katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Khairy berkata, peningkatan kes harian serta kluster membabitkan tempat kerja menyaksikan keputusan kerajaan menyegerakan pelaksanaan fasa empat PICK itu.

Justeru, katanya, kawalan wabak dilaksanakan dalam sektor kritikal yang menjadi asas tulang belakang kepada pembangunan ekonomi negara.

"Tindakan ini penting untuk kita mengimbangkan hidup dan kehidupan.

"Jika kita lihat data kes harian Covid-19, semalam sebanyak 11 kluster baharu dikesan di tempat kerja daripada sejumlah 15 kluster baharu keseluruhan, yang membabitkan bilangan kes positif baharu hampir 200 kes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 4:03 PM