Luqman Arif Abdul Karim


Kuala Lumpur: Malaysia mengadakan rundingan semula dengan syarikat pembekal vaksin dari seluruh negara bagi mempercepatkan penghantaran bekalan.

Percaturan susulan arahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bakal menyaksikan Malaysia dijangka menerima 37 juta dos vaksin sebelum akhir September ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin ketika menjelaskan perkembangan semasa itu berkata, syarikat pembekal vaksin dari China, Sinovac akan selesai menghantar keseluruhan tempahan 12 juta dos sebelum akhir Julai depan.

Beliau berkata, syarikat farmaseutikal dari Amerika Syarikat, Pfizer pula akan menghantar 25 juta dos dalam suku ketiga tahun ini.

Malah, katanya, bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) juga giat melakukan penilaian terhadap vaksin satu dos daripada Cansino, selain usaha meningkatkan kapasiti vaksinasi yang ketika ini kadar harian mencecah 100,000 suntikan.

"Kita sedang merancang untuk meningkatkan jumlah ini kepada dua kali ganda menjelang Julai nanti, lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka termasuk PPV mega yang boleh laksanakan suntikan pada kadar 5,000 hingga 10,000 suntikan sehari.

"Saya sedar ramai bimbang mengenai PPV mega, justeru saya sudah mengarahkan agar prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan lebih ketat dilaksanakan bagi mengelak keadaan sesak ini.

"PPV klinik swasta juga sudah mula beroperasi. Jumlah ini akan terus ditambah menjelang akhir Jun. Kita menyasarkan 1,000 PPV klinik swasta bagi membolehkan capaian vaksinasi yang lebih mudah kepada orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam rakaman video yang dimuat naik di Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV), hari ini.

Merintis penambahbaikan, Khairy memaklumkan bahawa lebih banyak hospital swasta akan terbabit menjadi PPV, malah pembukaan beberapa PPV pandu lalu akan dilaksanakan.

Beliau berkata, pasukan jangkauan luar turut bergerak di negeri-negeri ketika ini dan ia akan diteruskan bagi meliputi pusat jagaan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU), kampung, pusat perlindungan gelandangan, kampung orang asli serta kawasan pedalaman.

"Ini bagi memastikan tiada yang tertinggal dalam mendapat perlindungan vaksinasi. Saya juga akan terus mengadakan lawatan ke negeri-negeri bagi memastikan koordinasi berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

"Negeri dan daerah di seluruh negara akan diberi ruang untuk melaksanakan vaksinasi di lokaliti masing-masing, mengikut kesesuaian setempat.

"Kita juga akan memulakan vaksinasi kepada industri dan sektor ekonomi yang perlu terus beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya mereka dan individu sekeliling terlindung daripada Covid-19.

"Saya sedar kegusaran orang ramai yang masih menunggu giliran vaksinasi mereka. Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan berusaha sehabis baik dalam meningkatkan kadar vaksinasi bagi membolehkan seramai mungkin dilindungi, dalam kadar sesegera mungkin," katanya.

Sementara itu, Khairy menerusi akaun Twitter rasminya memaklumkan bahawa suatu sesi penerangan khas diadakan pagi tadi bersama Perdana Menteri, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, sesi berkenaan antara lain meliputi isu berhubung perkembangan semasa PICK, selari matlamat kerajaan ke arah meningkatkan kadar pemberian suntikan di seluruh negara.

BEKALAN Vaksin Covid19.
BEKALAN Vaksin Covid19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 3:18 PM