ALLAUDEEN pada sidang media selepas perhimpunan bulanan IPK Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
ALLAUDEEN pada sidang media selepas perhimpunan bulanan IPK Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Hentikan tindakan tidak masuk akal !

Demikian tegas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid terhadap anggota yang enggan mengambil laporan polis.

Beliau berkata, semua Ibu Pejabat Daerah (IPD) dan balai di ibu kota perlu menghentikan tindakan terbabit atau berdepan tindakan disiplin.

"Keengganan mengambil laporan adalah salah laku amat serius. Kalau orang datang ke balai buat laporan apa sekali pun, ia perlu diterima oleh anggota bertugas dan seterusnya kes akan diklasifikasi oleh pegawai tertentu.

"Dalam kes ini, kita sudah kenal pasti anggota yang enggan mengambil laporan dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) KL juga sedang melakukan siasatan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan anggota polis yang menolak untuk menerima laporan daripada seorang lelaki yang diperas ugut empat anggota polis, 4 Januari lalu.

Menurutnya, pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang tindakan yang melanggar disiplin.

"Saya nak ingatkan semua IPD dan balai di Kuala Lumpur ini, hentikan tindakan yang tidak masuk akal ini.

"Tidak ada situasi pun untuk anda enggan menerima laporan," katanya.

Katanya, laporan polis yang dibuat akan diklasifikasikan mengikut peruntukan undang-undang sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Sebelum ini media melaporkan polis mengesahkan menerima laporan kes pemerasan membabitkan empat anggota polis di hadapan Kompleks Pangsapuri, Kepong, di sini pada 4 Januari lalu.

Seorang lelaki tempatan mendakwa empat anggota polis meminta wang RM10,000 di parkir kompleks Pangsapuri Kepong pada 23 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 11:37 AM