Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya mendapat pengiktirafan penuh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (LKPU) untuk program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Syariah (SmUS).

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada kenyataan hari ini, menzahirkan ucapan tahniah kepada USIM atas kejayaan berkenaan.

KPT berkata, usaha serta komitmen yang diberikan oleh USIM, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bersama LKPU melalui platform Jawatankuasa Teknikal Bersama sejak 2010 kini sudah berhasil.

"Graduan program SmUS kini diiktiraf sebagai pengamal undang-undang sivil dan syariah di Malaysia.

"Walaupun negara dilanda pandemik Covid-19 sejak 2020, LKPU terus melaksanakan penilaian yang berterusan dan pelbagai proses penting seperti pelaksanaan modul tambahan selama enam bulan.

"Ujian Akhir Modul Khas Kemahiran dan Latihan Praktikal pada September 2020, lawatan penilaian semula program dan semakan kualiti berjaya dilaksanakan," katanya.

Justeru, KPT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada LKPU yang melaksanakan tugasnya dengan profesional dalam memuktamadkan proses pengiktirafan ke atas program ini.

"Kementerian juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada graduan program SmUS dan semoga kejayaan ini akan terus menjadi pemangkin untuk melakar kejayaan yang lebih besar dan gemilang pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 8:34 PM