Raja Noraina Raja Rahim


Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menafikan tanggapan sesetengah pihak mengenai program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah ditawarkan tidak mendapat pengiktirafan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Zulkiple Abd Ghani berkata, USIM mendapat pengiktirafan sementara dari Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LPKU) sejak 2015.

Menurutnya, penilaian semula dibuat pada 6 Mac lalu terhadap kriteria ditetapkan untuk mendapatkan pengiktirafan penuh dan keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh tujuh bulan.

"USIM mengambil tanggungjawab melaksanakan tindakan bersesuaian bagi memenuhi syor diberikan oleh LPKU sebelum dan semasa penilaian dibuat seperti dilaksanakan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk mendapat pengiktirafan itu, tahun lalu.

"Antara usaha awal dibuat adalah menukarkan nama program Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang kepada Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah serta diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, USIM mempunyai 338 graduan Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah manakala 358 penuntut sedang mengikuti program itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 9:22 PM